Since tengah buat research ni, nak share sikit la pasal kepentingan mendapatkan rawatan awal bagi pesakit mental (eg: kemurungan dan anxiety). Baru-baru ni ada tulis pasal stigma, jadi kali ini nak share pengalaman macam mana stigma tu boleh membuatkan orang menderita dalam diam dan seterusnya tidak mendapatkan bantuan, so disini, pentingnya menghapuskan stigma.
Sebelum berlakunya stigma, telah berlaku dulu SELF-STIGMA. Apa tu self-stigma? Yakni kita menstigmakan diri kita dengan perasaan yang tidak betul mengenai sakit mental.
“Allah tak reda dengan aku ke sebab tu aku murung?”
“Ni murung sebab aku terlalu ikut perasaan?”
“Solat aku tak diterima ke?”
“Orang lain ujian lagi berat daripada aku, tapi kenapa aku murung?”
“Aku tak bersyukur ke? Kalau bersyukur takkan rasa tak tenang macam ni?”
“Aku rasa aku dah gila”
Dan banyak lagi kata-kata yang menghukum diri sendiri. Setiap inci perkara akan dimuhasabahkan bukan sahaja sebelum tidur, tapi SETIAP MASA. Sebab tu orang selalu kata orang sakit kemurungan ni selalu overthink. Memang pun. Macam-macam difikirkan.
Stigma “pesakit mental lemah iman” ni sangat kuat. Bukan sahaja bagi orang Islam, tapi juga bagi agama lain.
Ingat lagi, masa mula-mula bergelumang dengan depression yang teruk, aku cuba cari bahan bacaan dan video untuk konon-kononnya lebih tenang. Aku taip “muslim depression”. tapi yang aku jumpa SEMUA video menghentam pesakit depression dengan pelbagai stigma contohnya “kalau dekatkan diri dengan Allah pasti takkan depress”. Keadaan aku makin teruk masa tu sebab tengok video-video macam ni. Aku rasa tak ada harapan dah. Aku makin hukum diri aku. So aku stop tengok video dah. Ni beberapa tahun lepas la. Tapi sekarang inshaAllah banyak dah video pasal kesedaran penyakit mental sebagai satu usaha untuk membanteras stigma.
Lama kelamaan aku makin keliru apa yang berlaku pada diri aku. Masa tu yang bermain difikiran aku adalah untuk mati je. Aku rasa dunia ni gelap, takde cahaya dan aku tiada masa depan sebab aku rasa apa aku buat semua tak kena. Aku tak pegi keje, aku tak boleh berjumpa orang. Kalau jumpa aku rasa menggigil, susah nak bernafas, rasa orang judge aku, dan rasa serbasalah yang teramat. Dah tak pegi usrah dan wasail tarbiah yang lain. Aku jugak tak boleh tidur. Antara cara nak distract diri dari serabut adalah tidur tapi aku tak boleh tidur. Cuba bayangkan overthink macam-macam dan rasa perit di dada tapi tak boleh tidur. Azab! Ye, mesti orang akan fikir kalau kita yakin dengan kekuasaan Allah, dan tahu matlamat hidup, takkan kita terfikir untuk bunuh diri kan? Bukan sekali pegi daurah Ini Matlamat kita dan daurah Ini Sejarah Kita. Tapi tula, tak membantu.
Masa keperitan itula tak ada lagi tempat bergantung melainkan berdoa, bersujud dan memohon ampun dari Allah. Biasa kalau kita sedih atau tertekan, kita akan cuba solat sunat, baca Quran dan makna, baca mathurat apa semua kan. Pujuk diri “takpe, Allah ada” “ada hikmah ni” “Allah nak bagi yang lebih baik” Tapi masa tu setiap malam qiyam buat solat tahajjud, solat hajat, solat taubat dan solat istikharah. Baca Quran sekali makna. Solat sambil nangis sebab memaknai bacaan Al-Fatihah. Mathurat tak penah-penah nak baca mathurat kubra, tapi time tu baca. Tapi malangnya tetap tak boleh rasa tenang. Aku buntu taktau nak buat apa.
Bagi aku, sekarang ni kesedaran para pesakit untuk mendapatkan rawatan tu agak tinggi. Namun malangnya terbantut bila berjumpa dengan doktor yang bukan dalam bidang psikiatri. Nak taknak kena jumpa GP jugak sebelum dirujuk ke pakar. Aku bukan nak menakutkan sesiapa yang nak dapatkan rawatan psikiatri, dan aku juga bukan nak merendahkan staff kesihatan, tapi disitulah masalah bila doktor di klinik juga judge.
Mungkin Allah kabulkan istiharah aku dengan memberi ilham untuk aku mendapatkan rawatan. Tapi mencabar. Cuma aku cadangkan siapa yang dapat stigma dari doktor atau staf kesihatan lain supaya tidak berputus asa. Hadap dapa terima apa yang mereka kata, dan niatkan untuk mencari kesembuhan. Cekalkan hati, jalan terus.
Sebelum aku dirujuk ke pakar psikiatri, aku dah melalui 4 orang doktor di klinik.
Doktor pertama di KK. Bila aku jumpa, dia suruh buat ujian DASS untuk saring tahap kesihatan mental aku. Result sangat teruk. Dia nasihat macam-macam. Aku cakap sentiasa ada suara dalam kepala suruh bunuh diri. Aku dah tak tahan. Dan aku nak ubat tidur. Dia cakap tak kesian ke dekat family kalau nak bunuh diri. Yela, sebab aku fikir kesian la aku pegi dapatkan rawatan. Doktor tu nampak sangat la nak tolong aku, siap bagi no phone. Tapi sampai sekarang aku tak contact pun.
Doktor kedua aku jumpa di klinik swasta. Dia nasihat aku suruh banyakkan pegi masjid dan join majlis ilmu. Dah masa tu usrah pun dah tak pegi sebab rasa takut jumpa manusia, macam mana nak pegi masjidnya. Dan nasihat keagamaan lain dia bagi. Dia prescribe xanax tapi kena beli kat farmasi. Dalam 10 farmasi aku pegi, takde yang ada xanax.
So aku pegi ke hospital swasta pulak. Pegi nak mintak xanax. Bila jumpa doktor sama jugak dia cakap suruh banyakkan pegi masjid, dekatkan diri dengan Allah dan lain-lain. Hospital ni ada perkataan Islam dekat nama dia. So mungkin doktor tu ada fikrah la kot. Dia bagi la xanax sikit. Tapi tak refer jumpa psikiatris.
Bila xanax habis, aku ke hospital swasta lain untuk berjumpa doktor ke empat. Alhamdulillah doktor ni banyak mendengar. Selain nasihat untuk dekatkan diri dengan Allah, dia juga cakap antara cara nak happy adalah dengan buat sex. Dan yang bagusnya, dia refer aku pada psikiatris. Time tu baru la aku tahu aku perlu jumpa pakar.
Bagi sesiapa yang mengalami kemurungan atau ada tanda-tanda sakit mental lain, kenapa aku cakap jangan putus asa untuk mendapatkan rawatan? Sebab kalau dah dapat jumpa doktor psikiatri, mereka sangat memahami. Mereka tidak judge kata kita lemah iman ke apa ke. Mereka membuatkan kita rasa apa yang kita alami tu adalah valid. Alhamdulillah lepas aku dapat anti-depressant dan benzodiazepine, keadaan aku bertambah okay. Ye, kemurungan ni penyakit. Perlu jumpa pakar untuk merawat.
Kemurungan bukanlah tanda lemah iman. Pesakit darah tinggi mendapat sakit darah tinggi bukan disebabkan tak kuat iman, begitu juga pesakit depression yang tidak dapat depression disebabkan lemah iman. Namun, dalam masa yang sama, penting juga untuk sentiasa dekatkan diri dengan Tuhan. Sama juga dengan pengidap penyakit lain, perlu sentiasa doakan kesembuhan.
Kenapa aku try hard sangat nak duk cakap pasal stigma? Sebab aku ada stigma “kena dekatkan diri dengan Allah nanti boleh tenang la” sampaikan aku lewat dapatkan rawatan. Kalau tak, mungkin lebih mudah dirawat dan lebih mudah sembuh. Kita memang dituntut untuk sentiasa positif, tapi jangan sampai mengabaikan perasaan negatif. Ya, kita dai, kita graduan psikologi. Tapi kita juga manusia, tak imun dari penyakit mental.
Siapa yang ada gejala kemurungan, cepat la berjumpa doktor. Jangan jadi macam Areefah.
0 advice(s):
Post a Comment
thanks =)